PATRIOTISME DALAM SINEMA INDONESIA

sinema dan patriotisme

Filem-filem ini mampu membuatkan seseorang penonton individu itu berfikir dan menyedari akan tanggungjawabnya bukan sahaja sebagai seorang warganegara tetapi juga sebagai seorang insan (manusia) di muka bumi ini.

Sinema Indonesia telah melahirkan sejumlah pengarah filem yang berbakat sama ada ketika era Orde Baru di bawah pemerintahan Presiden Suharto atau era kontemporari. Ada kelompok pengarah filem Indonesia yang terkenal dan diangkat sebagai karyawan yang begitu sinonim dengan unsur dan wajah ‘keindonesiaan’ yang tebal. Malah, jika diteliti, kebanyakan karya pengarah-pengarah ini juga telah disuntik dan diselitkan elemen patriotisme atau nasionalisme secara tidak langsung.

Sinema Indonesia era Orde Baru juga sinonim dengan lambakan filem bergenre popular seperti seram dan aksi yang rendah kualitinya serta disulami elemen seks dan keganasan. Namun, era Orde Baru ini turut menyaksikan filem-filem yang disuntik elemen patriotisme atau nasionalisme bagi tujuan membangkitkan rasa cintakan tanah air atau negara bangsa dalam kalangan masyarakat penonton. Ini termasuklah filem-filem yang dihasilkan dalam acuan genre filem aksi-perang seperti Janur Kuning (1979), Serangan Fajar (1981) dan Pengkhianatan G30S PKI (1983) yang rata-ratanya didasari unsur propaganda yang kuat. Namun, yang lebih menarik, era Orde Baru ini juga telah menyaksikan kemunculan pengarah-pengarah filem handalan Indonesia seperti Teguh Karya, Syumanjaya, Wim Umboh, Asrul Sani, Amy Priyono, Arifin C. Noer dan beberapa lagi.

Beberapa buah filem yang menarik era 1980-an telah memaparkan tentang peranan penting wanita dalam sejarah Indonesia. Ini secara tidak langsung sejajar dengan ideologi ‘ibu-ism’ Orde Baru (1983) yang menggemilang dan menginstitusikan peranan ibu sebagai penyokong suami, anak-anak dan negara bangsa.

Filem Para Perintis Kemerdekaan (1980) arahan Asrul Sani (filem ini telah menggunakan judul Di Bawah Lindungan Kaabah sewaktu tayangan di Malaysia sekitar awal 1980-an), misalnya, memfokuskan wanita sebagai teraju utama yang menjadi ejen kemerdekaan.

Para Perintis Kemerdekaan (bukan seperti versi baharu Di Bawah Lindungan Kaabah, 2011, arahan Hanny Saputra) telah menggabungkan adaptasi novel judul yang sama karya sasterawan Islam terkenal Hamka dan tulisan beliau yang lain. Selain itu, epik sejarah bertemakan Islam yang meletakkan watak wanita sebagai hero yang telah menaikkan sinema Indonesia era Orde Baru ialah Tjoet Nja’ Dhien (1988) arahan Eros Djarot. Epik lakonan Christine Hakim didasarkan daripada tokoh sebenar serikandi Aceh Tjoet Nja’ Dhien yang bangkit menentang Belanda dalam Perang Aceh selepas suaminya dibunuh Belanda dalam satu pertempuran.

Dua buah filem lagi yang dapat dihayati maksud ‘kemerdekaan’ secara mendalam dengan memfokuskan wanita ialah Raden Ajeng Kartini (1983) arahan Syumanjaya, sebuah biografi berkenaan tokoh aktivis dan pendidikan Jawa terkenal yang telah membina sekolah untuk kaum perempuan di Jawa Tengah Utara lewat kurun ke-19 di celah cengkaman patriarki yang menebal ketika itu.

Budaya Hibrid

Sebuah lagi filem yang berkaitan dengan emansipasi wanita adalah Roro Mendut (1983) arahan Amy Priyono berkenaan kisah seorang perawan jelita yang merupakan seorang penari yang cuba ingin membebaskan dirinya daripada dikuasai (secara seksual) oleh seorang panglima perang kerajaan Mataram di Jawa Tengah ketika kurun ke-17.

Pengarah yang meninggalkan paling banyak impak ketika era Orde Baru ialah Teguh Karya. Malah, Teguh pernah menghasilkan dua buah filem berunsur sejarah seperti November 1828 (1979) dan Doea Tanda Mata (1986). November 1828 menggunakan latar perang Jawa antara Belanda dan pengikut Diponegoro. Yang paling menarik, filem ini tidak menonjolkan watak hero tertentu kerana rakyat jelata diangkat menjadi hero di samping menyisihkan isu etnik dan budaya hibrid menerusi perkahwinan campur.

Filem-filem Teguh yang lain menggunakan latar masa kontemporari begitu sarat dengan isu dan kritikan sosial yang ditanam benih dan semangat nasionalisme. Antaranya ialah melodrama keluarga, Ibunda (1986), yang mengisahkan seorang ibu berhadapan dengan pelbagai kerenah anak-anak dan menantunya. Watak si ibu berfungsi sebagai kuasa yang menyatukan pelbagai konflik yang telah hampir merobohkan keluarganya.

Filem Teguh yang lain, Secangkir Kopi Pahit (1985), membawa isu migrasi (dari pedalaman ke bandar) yang pada masa yang sama mengutarakan persoalan perbezaan etnik dan kelas menerusi watak utamanya yang berketurunan Batak dari Sumatera Utara.

Seorang lagi pengarah yang memulakan kariernya ketika dekad terakhir era Orde Baru dan masih mengarahkan filem hingga kini ialah Garin Nugroho yang telah menempa nama di persada antarabangsa.

Antara filem bercorak sejarah yang diarahkan Garin ialah Soegija (2012), sebuah biografi tokoh pejuang nasional, Albertus Soegijapranata, biskop Roman Katolik Indonesia yang pertama ketika penjajahan Belanda. Jika diteliti, filem-filem Garin seperti Puisi Tak Terkuburkan (2000), Daun di Atas Bantal (1998), Surat Untuk Bidadari (1994), Opera Jawa (2006), Di Bawah Pohon (2008), Aku Ingin Menciummu Sekali Sahaja (2003) dan Rindu Kami Padamu (2004) memaparkan kepelbagaian etnik dan keturunan, agama dan budaya, dan daerah dan tempat. Ini adalah usaha murni dalam menyumbang kepada pembinaan negara bangsa dan kepelbagaian identiti Indonesia secara kolektifnya. Contohnya, Aku Ingin Menciummu Sekali Sahaja merupakan alegori hubungan Papua Barat (Irian Jaya) dengan Indonesia (negara bangsa). Manakala Rindu Kami Padamu adalah filem komedi bertemakan Islam yang mengumpulkan watak-watak Muslim pelbagai etnik, keturunan dan daerah yang menyambut Aidilfitri di pinggir Jakarta. Garin yang berketurunan Jawa mendakwa yang beliau mahukan karya-karyanya memaparkan Indonesia yang mengandungi pelbagai etnik dan budaya, dan tidak hanya cenderung memaparkan identiti ‘kejawaan’ yang bersifat tunggal.

Pengarah-pengarah pasca era Orde Baru yang lebih kontemporari terus mengikut jejak Garin dengan memaparkan identiti Indonesia yang pelbagai dan heterogenous sifatnya. Ini termasuklah Riri Riza, Rudy Soedjarwo, Nia Dinata, Nan T. Achnas, Hanung Bramantyo, dan beberapa lagi. Nia Dinata, contohnya, menghasilkan filem Ca-bau-kan (2003), berlatarkan sekitar tahun 1930–1950, yang memaparkan budaya etnik Tionghua Indonesia.

Riri Riza telah menghasilkan filem paling popular dalam sejarah sinema Indonesia iaitu Laskar Pelangi (2008) yang diadaptasi dari novel karya Andrea Hirata. Laskar Pelangi yang mengisahkan sekumpulan anak-anak miskin di sebuah sekolah agama turut memaparkan budaya kemelayuan masyarakat di Pulau Belitung, Pantai Timur Sumatra era 1970-an, selain disulami dengan elemen dakwah Islamiah dan nasionalisme.

Justeru filem-filem Indonesia yang disebut itu turut menyumbang terhadap pembinaan “bangsa Indonesia” itu sendiri. Selain itu, filem-filem ini mampu membuatkan seseorang penonton individu itu berfikir dan menyedari akan tanggungjawabnya bukan sahaja sebagai seorang warganegara tetapi juga sebagai seorang insan (manusia) di muka bumi ini.

Penulis

Norman Yussof – Senior Lecturer (Film), Faculty of Film, Theatre and Animation, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Malaysia

*Tulisan ini pernah dimuat di Mingguan Malaysia, kolom Seni dan Budaya, Ahad 19 Oktober 2014.

 

The post PATRIOTISME DALAM SINEMA INDONESIA appeared first on montasefilm.

​PATRIOTISME DALAM SINEMA INDONESIA
The post PATRIOTISME DALAM SINEMA INDONESIA appeared first on montasefilm.  montasefilm 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Secret Link